Friday 10 August 2012

Tamadun Yang Menjadi Contoh di Asia



Tamadun Jepun

Gambatte! Gambatte! Acapkali perkataan ini diteriak dari mulut orang-orang Jepun terutamanya anak-anak muda Jepun apabila ingin memberi semangat kepada saudaranya yang sedang berusaha melakukan sesuatu. Itulah kunci kejayaan masyarakat Jepun! Saling memberi semangat dan sentiasa bekerjasama. Ketamadunan Jepun yang telah bermula sejak ribuan tahun dahulu merupakan asas kemajuan negara Jepun yang maju pada hari ini.

Ketamadunan Jepun yang pesat membangun seringkali dijadikan contoh oleh negara-negara membangun yang lain. Walaupun, Hiroshima dan Nagasaki telah dihancurkan dengan bom atom Amerika Syarikat, mereka mampu bangkit dengan masa yang singkat sehingga menjadi kuasa ekonomi unggul Asia.

Bagi memperhalusi lagi perbincangan kita tentang topik ini, marilah kita mendekati definisi-definisi kata kunci yang terdapat dalam perbincangan ini. Istilah tamadun berasal daripada perkataan Arab, iaitu ‘maddana’ yang bererti ‘kehalusan budi bahasa’ dan ‘kesopanan tingkah laku’. Tamadun juga membawa erti pembukaan bandar. Edward L. Farmers pula mendefinisikan tamadun sebagai satu unit budaya yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi. Profesor Wan Hashim Wan Teh berpendapat bahawa perbezaan antara tamadun dengan budaya ialah tahap pencapaiannya. E.B Taylor, seorang ahli antropologi mendefinisikan tamadun sebagai merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan-keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang didapati oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Menurut Jacqueta Hawkes, tamadun merujuk kepada kualiti tinggi yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat. Manakala seorang sejarawan materialis, Gordon Childe memberi penekanan kepada pencapaian material sebagai lambang ketamadunan sesebuah masyarakat.

Istilah Jepun pula secara umumnya merujuk kepada negara Jepun yang terletak di Timur Asia. Menurut CIA World Factbook yang dikeluarkan oleh CIA (Crime Investigation Agency/Agensi Penyiasatan Jenayah) Amerika Syarikat, istilah ‘Japan’ yang membawa maksud Jepun dalam bahasa Melayu merujuk kepada sebuah negara yang kedudukannya 36 00 U, 138 00 T dalam peta dunia dan berkeluasan 377, 835 kilometer persegi. Menurut laman web Wikipedia pula Jepun atau nama rasminya Nippon-koku atau Nihon-koku merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Timur Asia.

Perkataan ‘maju’ pula menurut Kamus Dewan Edisi Baru membawa maksud bertambah baik keadaannya atau tinggi tamadunnya (peradabannya, taraf hidupnya, dll). Menurut Kamus Umum Bahasa Indonesia, perkataan maju membawa maksud melangkah ke depan, bertambah berhasil dalam mengembangkan perusahaan, lulus dalam ujian. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia pula, perkataan maju membawa maksud berjalan(bergerak) ke muka, tampil ke muka, mendesak ke depan (tentang persatuan), menjadi lebih baik (laku, pandai, dsb), berkembang.



GEOGRAFI, DEMOGRAFI DAN SEJARAH JEPUN
Jepun atau Nihon(Nippon) dalam bahasa Jepun dikenali secara meluas sebagai Tanah Matahari Terbit. Nihon sebenarnya bermakna asal matahari, iaitu matahari terbit. Jepun juga pernah dikenali sebagai Yamato. Nihon, telah diterima secara am sebagai nama untuk Jepun dan telah digunakan buat pertama kalinya oleh cendiakawan-cendiakawan Jepun. Orang-orang Korea yang telah ramai datang ke Jepun pada awal abad ke 7. Istilah Nippon telah digunakan dengan meluas semasa era Meiji (186-19120 dan Taisho (1912-1926). Selepas perang kedua, Nihon sebaliknya lebih banyak digunakan dirujukkan kepada Jepun.

Kepulauan Jepun terdiri daripada Honshu, Kyushu, Shikoku, Hokkaido dan pulau-pulau kecil yang berhampiran. Honshu, merupakan pulau yang terbesar dan menjadi tempat tinggal empat perlima daripada penduduk Jepun masa kini. Beberapa buah daripada bandar-bandar yang terbesar di Jepun, seperti Tokyo, Osaka, Kyoto, Nagoya, Yokohama, dan lain-lain terletak di pulau ini. Jepun adalah sebuah negara yang kekurangan kawasan-kawasan dataran, perairan, dan sungai-sungai yang panjang lebar. Bagaimanapun, oleh kerana kedudukannya di zon monsun, ia mendapat hujan dan kelembapan yang secukupnya dan dengan yang demikian ia kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Secara am, iklimnya adalah sederhana, dan kempat-keempat musim, (bunga, panas, luruh, dan sejuk) adalah jelas berbeza.

Empat perlima daripada negara Jepun diliputi oleh kawasan pergunungan dan seperlima oleh dataran lanar. Antara dataran-dataran lanarnya ialah yang terkaya terletak di Honshu, terutamanya di sebelah kawasan timur Jepun. Ketiga-tiga dataran tersebut ialah Kanto(terletak di Tokyo), Kinai(terletak di teluk Osaka) dan yang ketiga terletak di Teluk Ise. Ketiga-tiga dataran ini mempunyai penduduk yang padat. Dataran-dataran tersebut amat penting dalam sejarah Jepun kerana ia merupakan kawasan-kawasan pengeluaran makanan dan juga sumber kekayaan dan kuasa utama. Oleh hal itu, dataran-dataran ini telah menjadi punca perselisihan dan persaingan di kalangan tuan-tuan tanah dan keluarga-keluarga feudal.

Orang-orang Jepun sebahagian besarnya berketurunan Mongoloid dan dengan itu mereka mempunyai pertalian rapat dengan orang-orang Cina, Korea, Thai, Burma dan lain-lain. Mereka berbadan sederhana dengan potongan muka yang berbentuk bujur serta rambut dan mata yang berwarna hitam. Orang-orang Jepun berketurunan Mongoloid ini telah sampai ke Kyushu melalui negara China dan kemudian berhijrah ke Honshu, Shikoku, dan Hokkaido. Orang-orang Jepun juga telah berkahwin campur bangsa Ainu.

Orang-orang Ainu merupakan bangsa proto-Caucasoid yang telah menduduki Jepun terlebih awal daripada orang-orang Mongoloid. Beberapa ahli antropologi telah menganggarkan bahawa orang-orang Ainu hidup di Jepun lebih kurang 5000 tahun yang lalu. Hasil-hasil penyelidikan arkeologi, misalnya pertukangan barang-barang tembikar, siput dan lain-lain, menunjukkan kewujudan suatu kebudayaan neolitik yang mungkin telah diteruskan oleh orang-orang Ainu. Apabila semakin ramai orang-orang Jepun (suatu proses yang telah berlanjutan sehingga abad ke-8 Tahun Masihi), orang-orang Ainu, telah berpindah ke utara ke Hokkaido. Dalam proses tersebut, ramai orang Ainu kini merupakan suku bangsa Jepun. Orang Ainu kini merupakan suatu bangsa yang sedang mengahadapi proses pemupusan dan mereka hidup dalam penempatan-penempatan kecil di Hokkaido.

Orang-orang Ainu merupakan salah satu penduduk yang paling awal mendiami Jepun. Pada asasnya mereka merupakan masyarakat primitif yang hidup memburu dan memungut makanan. Kemungkinan juga mereka telah menduduki beberapa ribu tahun yang lalu. Mereka juga telah memiliki kebudayaan yang meyerupai zaman neolitik. Orang-orang neolitik ini telah menggunakan alat-alat harian yang telah diperbuat daripada serpihan batu yang telah digilapkan, tulang ikan dan tanah liat.

Sejarah awal kebudayaan Jepun dikenali sebagai Jomon. Perkataan Jomon ini berasal daripada barang-barang yang telah direka oleh orang-orang Jepun dari tanah liat jenis Jomon. Pertukangan tembikar Jomon telah dijumpai di Jepun telah menunjukkan kehalusan seni dan corak-corak yang luar biasa. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk asli Jepun telah mencapai taraf seni kebudayaan yang agak tinggi menjelang tahun 5000 SM.

Menjelang tahun 5000 SM, dipercayai suku kaum ini telah mengikut aliran hidup yang kolektif dan tetap tanpa jurang perbezaan antara miskin dan kaya. Mereka juga mempercayai suatu jenis kuasa ghaib. Hal ini boleh disimpulkan dari rupa-rupa patung patung dewi yang diperbuat daripada tanah liat dan gada-gada batu besar yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ilmu sihir. Orang-orang yang sudah meninggal dikebumikan tanpa keranda, dengan tangan dan kaki dilipatkan dan kadangkala diletakkan sebuah batu yang besar di atas dada mereka supaya mereka tidak menjelma semula.

Pada hampir tahun 200 Sebelum Masihi, pengaruh kebudayaan dari negara China mula mengalir masuk ke Jepun. Dinasti-Han di negara China(206SM-24SM) mula menekankan pengaruhnya ke atas penduduk awal Jepun. Akibatnya masyarakat Jepun mula mengalami banyak perubahan. Seni berkebun dan membuat perkakas-perkakas tembaga dan besi serta periuk-belanga tembikar yang telah direka pada waktu itu iaitu dari zaman-prasejarah Jepun sehingga hampir abad ke-14 Masihi. Barang-barang tembikar ini telah dicirikan oleh garisan-garisan inrus dan corak-corak ibi mudah dan kemas.
Pertanian merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun pada awal sejarahnya. Pada zaman pemerintahan Kamasura, Jepun telah memperlihatkan pertambahan hasil ekonomi. Pada abad ke-12 dan ke-13 Masihi, hasil pembuatan serta penggunaan alat-alat pertanian telah meningkat. Hal ini menyebabkan lebihan hasil pertanian. Justeru itu banyak bazar dan kedai telah didirikan. Penanaman padi diberikan penumpuan. Pada ketika ini, masyarakat Jepun juga menghasilkan tembikar daripada tanah liat sebagai tambahan kepada pendapatan yang sedia ada kerana sektor tanaman tidak dapat menampung semua penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan disebabkan tanaman padi amat mudah terjejas dengan perubahan iklim. Selain hal itu perlombongan juga merupakan satu pekerjaan yang mendatangkan hasil yang lumayan ketika itu contoh hasil galian ketika itu ialah emas, perak, tembaga, merkuri dan timah. Pertukaran wang juga telah meningkat dengan pesat. Perkembangan ekonomi wang menyebabkan ramai pedagang melibatkan diri dalam perdagangan beras dan sake (sejenis arak yang dibuat daripada beras). Ekoran kegiatan perdagangan yang semakin berkembang, masyarakat Jepun telah melibatkan diri dalam bidang perindustrian sehinggalah ke hari ini.
Pada Zaman Meiji, pendidikan dan ilmu pengetahuan telah menjadi agenda penting untuk menandingi kuasa-kuasa Barat. Pemimpin Meiji sedar bahawa pelajaran penting untuk menjadi kuasa ekonomi dan militari termoden. Hal ini dilakukan dengan penyerapan teknologi pengetahuan dari negara-negara tersebut. Pelajaran juga dianggap sebagai kunci kunci untuk membina sebuah negara yang kukuh. Beratus-ratus penuntut dihantar ke luar negeri untuk mempelajari sains, pentadbiran dan teknik perindustrian Barat. Pada ketika ini, pakar-pakar teknologi Barat telah digaji untuk mengajar pelbagai kemahiran kepada rakyat Jepun. Pada tahun 1871, Kementerian Pelajaran di Jepun telah ditubuhkan manakala setahun kemudian, negara Jepun telah dibahagikan kepada lapan daerah pelajaran. Setiap daerah mempunyai sebuah universiti, 32 buah sekolah menengah dan 210 buah sekolah rendah. Kanak-kanak yang berusia enam tahun ke atas wajib menerima pelajaran sehingga 16 bulan. Menjelang tahun 1880, terdapat lebih 28 000 buah sekolah rendah dengan hampir dua juta orang murid. Walaupun Jepun telah bergelar negara yang membangun, namun Jepun tetap memberi tumpuan dan penekanan dalam bidang pendidikan. Ia merupakan salah satu daripada perkara penting selepas perlembagaan baharu dibentuk. Pendidikan moden di Jepun wujud selepas Pembaharuan Meiji dan tradisi pendidikan wajib serta pendidikan tinggi dibentuk pada tahun-tahun seterusnya. Walaubagaimanapun, sistem ini telah diubah selepas Perang Dunia Kedua, iaitu mengikut sistem pendidikan Amerika Syarikat

No comments:

Post a Comment