Friday 10 August 2012

Pencapaian Tamadun Islam




Sumbangan-sumbangan itu pula dapat dilihat melalui 8 aspek yang utama iaitu dalam bidang falsafah dan pemikiran, agama islam, kemasyarakatan, ekonomi, perubatan, botani, sains dan teknologi dan bahasa. Untuk melihatnya dengan jelas, eloklah diulas setiap pencapaian dalam setiap aspek itu satu persatu.

1.FALSAFAH dan PEMIKIRAN.
Melalui falsafah dan pemikiran, tamadun Islam telah berjaya menghilangkan pemikiran manusia yang kolot terutamanya pada zaman kegelapan. Dalam aspek ini, konsep pendidikan, keintelektualan dan penerokaan ilmu diutamakan.
Konsep pendidikan dalam tamadun Islam tidak jauh bezanya dengan pendidikan yang diterapkan oleh tamadun lainnya. Oleh kerana pendidikan dalam tamadun Islam banyak memberi sumbangan dalam aspek falsafah dan pemikiran maka pengertian pendidikan Islam harus dihayati dan diaplikasikan untuk membina generasi Islam dan insan yang sempurna. Tarbiyyah ialah satu proses membentuk keperibadian manusia dari satu tahap ke satu tahap sehingga mencapai matlamat terakhir, iaitu insan yang sempurna mengabdikan diri dengan tulus ikhlas kepada Allah s.w.t. Ta’lim pula merupakan satu proses pengajaran atau pemindahan ilmu kepada manusia untuk merealisasikan fungsi, tugas dan statusnya sebagai khalifah Allah di bumi ini. Pengertian pendidikan yang seterusnya ialah Ta’dib iaitu proses mendidik manusia agar mampu mengembangkan segala potensi ke arah pembentukan tatasusila perlakuan atau adab sebagaimana yang dikehendaki oleh islam. Ia bersesuaian dengan sabda nabi Muhamad s.a.w yang bermaksud ‘Tuhanku telah mendidik (addaba) aku dalam bidang adab. Dia telah menjadikan pendidikanku (ta’dib) yang terbaik’. Irsyad pula merupakan petunjuk ke arah jalan yang lurus bagi kehidupan dunia seperti yang digariskan oleh al-Qur’an dan al-sunnah. Tadris yang mana merupakan pengertian terakhir bermaksud pengajaran yang dilakukan oleh seseorang kepada penuntut tentang sesuatu mata pelajaran.
Secara ringkasnya, kita boleh mengatakan bahawa pendidikan melalui pandangan Islam ialan proses pendidikan yang menyediakan seseorang dari aspek tubuh badan, akal, rohani dan mental sehingga menjadi masyarakat yang berguna untuk diri sendiri dan ummah. Melalui prinsip dalam pendidikan ini wujudlah falsafah dalam bidang pengalaman manusia.
Tamadun Islam memulakan perubahan melalui falsafah dan pemikiran manusia apabila Nabi Muhamad s.a.w menerima wahyu yang pertama pada tahun 610 M, iaitu surah al-Alaq’ ayat 1 yang bermaksud;
‘ Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan. Dia menjadikan manusia daripada segumpal darah, bacalah dengan nama Tuhan kamu yang Maha Mulia yang mengajar manusia menulis dengan pena. Tuhan mengajar manusia dengan perkara-perkara yang tidak diketahui.”
Melalui ayat-ayat tadi, Islam diberikan kewajipan untuk menuntut ilmu tanpa mengira jantina dan keturunan. Ayat pertama yang terdapat dalam ayat itu adalah iqra’ (baca) menyeru umat islam untuk membaca kerana membaca adalah langkah pertama yang terbaik yang harus dilakukan dalam proses pendidikan. Sehingga kini, kebaikan membaca itu dapat dilihat dan dipraktikan.
Selain itu, Tamadun Islam yang diasaskan oleh Nabi Muhamad juga telah mengambil langkah untuk mendirikan masjid sebagai pusat pendidikan. Perkembangan Institusi pendidikan pada zaman-zaman berikutnya menyaksikan kewujudan institusi pendidikan Islam seperti Kuttab, masjid dan institusi pengajian tinggi (madrasah/kolej). Sehingga kini, penubuhan pusat pendidikan yang berunsurkan keagamaan ini masih berterusan dan diguna pakai.
Setelah kemangkatan baginda, pendidikan ini terus diperjuangkan oleh beberapa orang khalifah. Contohnya, pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab (13-24H/634-644M), beliau telah mengadakan takwim islam berdasarkan tahun hijrah. Takwin ini bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran negara dan memudahkan urusan dalam aspek pendidikan yang membabitkan penggunaan tarikh. Sehingga kini, kita masih menggunakan tarikh dalam kehidupan seharian kita dan kepentingannya memang tidak dapat dipertikaikan.
Pada tempoh pemerintahan yang diterajui oleh Bani Umaiyah, bidang pendidikan lebih maju dalam membuka pemikiran manusia ke arah falsafah dan pemikiran Islam. Guru-guru yang professional telah ditambah mengikut tahap pendidikan. Mata pelajaran yang diajar juga bertambah iaitu ilmu fikah, tauhid, tafsir al-Qur’an dan hadis, ilmu hisab, sejarah, sastera, ilmu perubatan, kesenian dan falsafah. Ilmu dalam menulis juga dipertingkatkan untuk memahami al-Qur’an. Proses pendidikan ini seterusnya membawa manusia dahulu dan sekarang maju dalam pendidikan.
Ilmu tasawwuf juga merupakan salah satu ilmu tamadun Islam yang dikenali sebagai tasawuf falsafah dalam teori wahdat al-wujud yang diasaskan Ibn’Arabi. Ilmu yang masih diguna pakai sehingga kini ini merupakan satu jalan untuk mengenal Tuhan. Ia mesti melalui perlbagai peringkat iaitu berguru, memahami syariat, memasuki tarekat dan sampai kepada hakikat, iaitu makrifat Allah s.w.t.
Falsafah juga boleh dilihat melalui tokoh-tokoh Islam yang dicontohi oleh orang Eropah seperti al-Kindi, al-FarabiIbn Tufayl dan Ibn Rushd. Selain itu, Ibn Tufayl dengan karyanya Hayy Ibn Yaqzan yang mengungkapkan bahawa manusia boleh mengenal Tuhan tanpa wahyu dan guru telah mempengaruhi pemikiran orang Eropah. Karya ini telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Roger Bacon dan diterbitkan bersama-sama teks Arab di Oxford pada tahun 1671.
Seterusnya karya tersebut diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah yang lain. Bukan se­takat menterjemah, malahan orang Eropah juga menghayatinya melalui penciptaan kisah-kisah berdasarkan idea yang dikemukakan dalam buku tersebut. Antara kisah tersebut ialah buku Robinson Crusoe yang dihasilkan pada abad ke­ 18M.
Demikian juga dengan idea falsafah Ibn Rushd telah mempengaruhi ahli falsafah Eropah sejak abad ke-12M lagi. Pada abad ke-16M, falsafah Ibn Rushd, menurut Renan, telah diamalkan secara rasmi oleh golongan terpelajar di Itali.
Sumbangan tamadun ini juga dapat dilihat melalui perubahan sikap mereka terhadap kehidupan di dunia. Orang Eropah menganggap kehidupan di dunia bukan lagi sesuatu yang dibenci lantaran ia merosakkan, tetapi sesuatu yang mesti diisi dengan aktiviti kehidupan yang bermakna. Perubahan sikap ini akhirnya melahirkan satu gerakan intelektual yang dikenali sebagai fahaman humanisme pada abad ke-13M.
Selain daripada pendidikan melalui buku dan sekolah, penerokaan atau penjelajahan juga turut menyumbang kepada ilmu pengetahuan untuk mengubah falsafah dan pemikiran manusia. Ia juga membantu manusia mengambil pengetahuan melalui tamadun sebelumnya dan pemerhatian Islam. Penerokaan itu termasuklah penerokaan ilmu astronomi, geografi dan perubatan.
Sumbangan tamadun Islam pada ketika itu bukan sahaja diguna pakai pada zaman tersebut tetapi sebenarnya masih berterusan sehingga kini. Ianya dapat dilihat melalui kepentingan ilmu yang diwar-warkan di seluruh dunia.

2. KEMASYARAKATAN.
Umumnya manusia mengenali masyarakat Islam sebagai kelompok manusia yang beragama Islam dan mengamalkan ajaran Islam dalam satu masyarakat Islam. Namun, realitinya masyarakat Islam ialah orang Islam yang hidup bersama-sama golongan bukan Islam dalam satu kelompok masyarakat yang berlandaskan nilai-nilai Islam
Sebelum kedatangan tamadun Islam, kehidupan manusia sangat kacau bilau terutamanya pada zaman jahiliah. Zaman ini merupakan zaman kegelapan di mana manusia mencapai kemajuan kebendaan yang tinggi namun amat teruk dari segi kerohanian. Pelbagai perkara yang tidak baik berlaku seperti amalan riba dan penindasan dalam kegiatan ekonomi, dan wujudnya system kabilah dengan semangat ‘assabiyyah yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat. Semangat ini menyebabkan berlakunya persengketaan yang membawa kepada kerosakan keharmonian masyarakat sejagat walaupun perkara yang menjadi punca hanya perkara yang kecil. Selain itu, wanita pada zaman tersebut tidak dipandang kerana dianggap tidak berguna. Mereka juga sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana menganggap wanita memberi masalah sosial dan ekonomi kepada mereka.
Pada peringkat awal masyarakat Melayu, mereka terpengaruh dengsn elitisme yang diwarisi daripada zaman hindu-buddha dan juga kehidupan pada zaman kegelapan. Ia diteruskan dengan peringkat awal selepas kedatangan Islam di mana sistem sosial masih lagi berasaskan kesedaran kelas (class consciousness) atau bersifat superior-inferior (golongan pemerintah & yang diperintah). Ini membentuk halangan sosial (social barrier) antara atasan & bawahan.
Oleh itu, Tamadun Islam memperkenalkan konsep keadilan tanpa mengira kedudukan atau pangkat dalam masyarakat. Konsep ini lebih dikenali dengan konsep persamaan taraf manusia. Oleh itu, tidak ada perbezaan taraf masyarakat yang membolehkan masyarakat yang lebih rendah tarafnya ditindas. Wanita juga menjadi semakin penting dalam masyarakat kerana kewujudan mereka dihargai. Konsep persamaan taraf manusia yang diperkenalkan oleh tamadun Islam membawa kepada keamanan masyarakat.
Tamadun Islam juga memperkenalkan sistem Khalifah yang adil dan sistematik. Kesan daripada perubahan ini gelaran raja ditukar kpd sultan kemudian diwujudkan sistem syura di kalangan ahl al-hal wa al-aqd dan sistem hisbah yg megawal kemungkaran.
Selain itu, boleh dikatakan bahawa masyarakat Islam yang pertama yang terbentuk ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya di Madinah, sebaik sahaja Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah. Baginda dan para sahabatnya telah mendirikan masyarakat yang berlandaskan nilai-nilai Islam dengan gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan menjadi contoh.
Tamadun Islam juga menyedarkan masyarakat bahawa mereka mempunyai hak-hak tertentu. Setiap individu dalam masyarakat mempunyai hak hidup dengan aman dalam sebuah masyarakat. Kebebasan berfikir, beragama dan melahirkan pendapat juga seharusnya dimiliki oleh setiap anggota masyarakat. Setiap individu bebas bergerak dan melakukan sebarang aktiviti yang bermanfaat tanpa batasan warna kulit atau pegangan agama.
Setiap manusia juga boleh menegakkan kebaikan dan menentang kemungkaran. Perlindungan politik juga diberi kepada sesiapa sahaja yang teraniaya tanpa mengira bangsa, pegangan agama dan warna kulit. Setiap individu juga berhak untuk bekerja dan mengusahakan sesuatu untuk mencari rezeki dan kekayaan yang halal.
Oleh kerana masyarakat pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, budaya, bahasa dan kelas. Masyarakat yang beragama Islam mesti tunduk kepada hukum Islam manakala masyarakat yang bukan Islam yang tinggal dengan aman bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang Islam kerana ia tertakluk kepada tanggungjawab politik, bukan tanggungjawab aqidah atau agama.
Sehingga kini, kita dapat melihat bahawa prinsip persamaan taraf yang diperkenalkan oleh tamadun Islam tersebut membantu masyarakat sejagat untuk mengekalkan keharmonian masyarakat.


3.EKONOMI
Dalam tempoh zaman jahiliah, aktiviti ekonomi diadakan dengan menggunakan amalan riba dan penindasan. Mereka yang berada dalam peringkat tertinggi dalam tingkat kehidupan manusia akan menindas golongan bawahan. Hal ini menyebabkan jurang kehidupan antara pihak atasan dan bawahan sangat berbeza. Namun demikian setelah kedatangan tamadun Islam, keadaan ini berubah.
Ekonomi Islam ialah suatu ilmu yang berteraskan syaria’ah bagi melindungi ketidakadilan dalam pemerolehan dan penggunaan sumber alam ,dengan memenuhi kepuasan manusia untuk melaksankan tanggungjawab terhadap Allah dan masyarakat keseluruhannya.
Bagi memastikan hak milik perseorangan, hak milik bersama dan hak milik negara terjamin, wujud hal-hal yang berkaitan seperti soal percukaian, pembangunan tanah, pertanian, galian dan perlombongan. Kegiatan-kegiatan perdagangan, perniagaan, perindustrian, pertanian dan pelaburan juga turut diperkembangkan.
Cara kegiatan ekonomi ini dijalankan menghasilkan kemajuan yang pesat dalam kehidupan masyarakat. Banyak pencapaian yang dicapai malah aktiviti ekonomi dalam bidang pertanian dan perdagangan diteruskan selepas kedatangan Islam dengan jayanya. Islam juga meningkatkan aktiviti perdagangan dalam kalangan orang Melayu yang dahulunya merupakan antara masyarakat yang tertindas.
Berikutan dengan itu, lahir pasar besar bertaraf antarabangsa yang dihadiri oleh pedagang Arab, Parsi, China, India dan sebagainya. Sistem barter bertukar dengan penggunaan sistem mata wang. Ekonomi berasaskan perdagangan dan pertanian yang dijalankan juga adalah merupakan hasil diplomatik antara tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain. Banyak penemuan dan teknik baru dalam pertanian, perindustrian dan sistem pengairan yang meningkatkan taraf ekonomi mereka. Hasil-hasil tanaman dieksport untuk mendapatkan keuntungan selain menapung keperluan rakyat. Antara tokoh-tokoh yang terkenal dalam kegiatan ekonomi adalah Al-Qurtubi dan Al Suhrawi.
Meninjau keadaan ekonomi kita sekarang, kita sebenarnya dapat melihat dengan jelas persamaan system perdagangan dan pertanian yang diadaptasi daripada cara yang digunakan oleh masyarakat tamadun Islam suatu ketika dahulu.

4.PERUBATAN
Dalam ajaran agama Islam setiap penyakit datangnya drpd Allah S.W.T dan hanya Allah yang boleh menyembuhkannya melalui ikhtiar atau usaha yang dilakukan. Ikhtiar yang dimaksudkan ialah melalui pengambilan rawatan (ubat) serta doa dan penggunaan ayat-ayat Al-Quran. Hal ini demikian kerana Kesakitan (nyeri) penyakit ialah cabaran dan dugaan Allah S.W.T untuk menguji ketabahan dan kesabaran seseorang. Sebenarnya terdapat cara untuk menghindar daripada menghidap penyakit. Antaranya ialah amalan beriadah dan rekreasi. Menjaga kebersihan (fizikal, mental & spiritual) dan tidak boleh berputus asa dalam usaha menyembuhkan semua penyakit.
Dalam tamadun Islam, banyak perkara yang telah dicapai dan semestinya digunakan sehingga kini. Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariyya al-Razi (Rhazes) merupakan ahli perubatan yang pertama membezakan penyakit cacar dan campak. Dia juga telah membahagikan ubat kepada 3 kategori iaitu galian (mineral), sayuran (vegetables) & benda hayat (biological).
Ali ibn al-Abbas al-Ahwazi pula merupakan Ahli perubatan yang pertama menerangkan hubungan antara rangkaian urat dengan arteri. Beliau juga menerangkan kepayahan untuk menyembuhkan penyakit tibi seterusnya menyedarkan manusia supaya berjaga-jaga dalam semua perkara terutamanya melakukan perkara yang mendedahkan mereka kepada penyakit tibi. Beliau juga Berjaya mencipta dan menerangkan pelbagai jenis pil, bedak, sirap, salap dan sebagainya.
Abu al-Qasim Khalaf Ibn al-Abbas al-Zahrawi pula mempelopori pengetahuan tentang pembedahan biasa, kaedah mengeluarkan batu dari pundi kencing, pemotongan organ serta pembedahan mata dan gigi. Beliau juga ada menulis tentang gynaecologi iaitu masalah yang berkaitan dengan mata & telinga. Ibn Sina (Avicenna) pula menerangkan dengan lebih lanjut mengenai meningitis dan melanjutkan penerangan Ali ibn al-Abbas al-Ahwazi mengenai tibi dengan penemuan tentang proses bagaimana tibi berlaku. Faktor penyakit kuning (jaundice) juga dikenalpasti oleh beliau.
Selain itu, Abu Qasim ibn al-Khalaf ibn al-Abbas al-Zahrawi telah Mencipta alat perkakas terutama dalam proses pembedahan dan Berjaya mencipta 300 jenis alat dan perkakas yang diperlukan dalam perubatan. Di samping itu, buku-buku perubatan telah ditulis oleh tokoh-tokoh yang dilahirkan dalam tamadun Islam iaitu Shifa, Al-Urjuzah fi Tibb Qawanin, Al-Kitab al-Malaki dan sebagainya dan turut diterjemahkan ke dalam bahasa Barat. 


5.SAINS dan TEKNOLOGI
Seperti bidang-bidang lainnya, bidang ini juga sangat berkait rapat dengan tamadun Islam. Dalam bidang astronomi, Ibn Al Zarqiyali telah dikenalpasti sebagai seorang tokoh yang mahir dalam menentukan gerhana matahari. Beliau juga telah mencipta kompas untuk menentukan jarak antara bulan & bumi di antara bintang dan matahari. Abdul Rahman Al-Sufi (Tokoh astronomi) juga telah menulis buku yang bertajuk Figures of stars yang memuatkan peta bintang-bintang tetap dengan rajah. Buku ini menjadi panduan para pedagang yang belayar untuk ke tempat-tempat yang ditetapkan.
Selain itu, Muhammad bin Musa telah mencipta jam Astrolab iaitu alat yg boleh mengukur masa di dunia. Abu Solet pada abad ke 12 M telah mencipta alat yang boleh menimbulkan semula kapal yang tenggelam. Abu al-Rayhan al-Biruni pula merupakan saintis yang terkenal dan mahir dalam matematik dan astronomi. Penemuannya digunakan dalam meramal gerhana matahari.
Bidang fizik dalam dunia moden ditakrifkan sebagai cabang ilmu yang berkaitan dengan kejasmanian. Dan tidak merujuk kepada pencipta. Tetapi, Fizik dalam agama Islam mengutamakan konsep “fizik tidak menafikan metafizik” iaitu penekanan dalam perkaitan antara fenomena alam dengan Khaliq. Dalam bidang ini Kamal al-Din al-Farisi telah membuat penerangan tentang fenomena kejadian pelangi. walaupun penerangannya dikatakan hampir sama dengan tokoh barat (Theodoric of Freiberg) namun pada zaman itu dipercayai bahawa penerangan beliau adalah yang terbaik. Usul mereka pada zaman itu juga sama dengan usul yang digunakan sekarang.
Ibn Haitham pula dikenali sebagai bapa optik moden. Dia menghabiskan masa dengan teori fizikal-bayang2, matahari, pelangi dan beliau juga sangat mahir dalam pelbagai bidang. Al-Biruni yang merupakan ahli fizik juga banyak menganalisis konsep asas jirim, graviti, ruang dan gerakan bumi.
Surahwadi pula telah menyediakan asas bagi fizik cahaya. Dia juga mengemukakan konsep alam dan planet tertakluk kepada daya dan hukum yang sama. Beliau juga telah membongkar hukum graviti semesta dan menjalankan banyak eksperimen mengenai cahaya.
Dalam cabang kimia, Ibn Sina telah membezakan semua jenis logam dan memperkembangkan ilmu kimia JABIR IBNU HAYYAN. Abu Musa Jabir Ibn Hayyan Al-Tusi telah memperkenalkan kaedah Sejatan, penyulingan, pemejalwapan, penghabluran, kaedah oksida logam bakar, percantuman dan turunan. Beliau juga mncpta asid galian seperti HNO3, H2SO4 yang banyak digunakan dalam kosmetik. Beliau juga telah mencipta bahan kimia yang boleh melebur emas yang dpanggil aqua regia dan turut menemukan kaedah pemurnian besi.
Tamadun Islam juga telah mengasaskan penciptaan bahan-bahan kosmetik melalui penemuan dan pencantuman bahan kimia. Antara kosmetik tersebut ialah, gincu, deodorant, pisau pencukur, losyen tangan, pewarna rambut, pemutih gigi dan penghasilan minyak wangi.
Dalam penciptaan teknologi, Ibn Al-Haytham telah mempelopori penciptaan kamera yang digunakan secara meluas sehingga kini. Beliau mengemukakan bahwa cahaya bergerak lurus dan digunakan dalam penciptaan kameranya. Di samping itu kompas dicipta dan digunakan dalam pelayaran dan ini membantu kegiatan perdagangan berkembang dengan pesat.

No comments:

Post a Comment