Friday 10 August 2012

Tamadun Yang Menjadi Contoh di Asia



Tamadun Jepun

Gambatte! Gambatte! Acapkali perkataan ini diteriak dari mulut orang-orang Jepun terutamanya anak-anak muda Jepun apabila ingin memberi semangat kepada saudaranya yang sedang berusaha melakukan sesuatu. Itulah kunci kejayaan masyarakat Jepun! Saling memberi semangat dan sentiasa bekerjasama. Ketamadunan Jepun yang telah bermula sejak ribuan tahun dahulu merupakan asas kemajuan negara Jepun yang maju pada hari ini.

Ketamadunan Jepun yang pesat membangun seringkali dijadikan contoh oleh negara-negara membangun yang lain. Walaupun, Hiroshima dan Nagasaki telah dihancurkan dengan bom atom Amerika Syarikat, mereka mampu bangkit dengan masa yang singkat sehingga menjadi kuasa ekonomi unggul Asia.

Bagi memperhalusi lagi perbincangan kita tentang topik ini, marilah kita mendekati definisi-definisi kata kunci yang terdapat dalam perbincangan ini. Istilah tamadun berasal daripada perkataan Arab, iaitu ‘maddana’ yang bererti ‘kehalusan budi bahasa’ dan ‘kesopanan tingkah laku’. Tamadun juga membawa erti pembukaan bandar. Edward L. Farmers pula mendefinisikan tamadun sebagai satu unit budaya yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi. Profesor Wan Hashim Wan Teh berpendapat bahawa perbezaan antara tamadun dengan budaya ialah tahap pencapaiannya. E.B Taylor, seorang ahli antropologi mendefinisikan tamadun sebagai merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan-keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang didapati oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Menurut Jacqueta Hawkes, tamadun merujuk kepada kualiti tinggi yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat. Manakala seorang sejarawan materialis, Gordon Childe memberi penekanan kepada pencapaian material sebagai lambang ketamadunan sesebuah masyarakat.

Istilah Jepun pula secara umumnya merujuk kepada negara Jepun yang terletak di Timur Asia. Menurut CIA World Factbook yang dikeluarkan oleh CIA (Crime Investigation Agency/Agensi Penyiasatan Jenayah) Amerika Syarikat, istilah ‘Japan’ yang membawa maksud Jepun dalam bahasa Melayu merujuk kepada sebuah negara yang kedudukannya 36 00 U, 138 00 T dalam peta dunia dan berkeluasan 377, 835 kilometer persegi. Menurut laman web Wikipedia pula Jepun atau nama rasminya Nippon-koku atau Nihon-koku merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Timur Asia.

Perkataan ‘maju’ pula menurut Kamus Dewan Edisi Baru membawa maksud bertambah baik keadaannya atau tinggi tamadunnya (peradabannya, taraf hidupnya, dll). Menurut Kamus Umum Bahasa Indonesia, perkataan maju membawa maksud melangkah ke depan, bertambah berhasil dalam mengembangkan perusahaan, lulus dalam ujian. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia pula, perkataan maju membawa maksud berjalan(bergerak) ke muka, tampil ke muka, mendesak ke depan (tentang persatuan), menjadi lebih baik (laku, pandai, dsb), berkembang.



GEOGRAFI, DEMOGRAFI DAN SEJARAH JEPUN
Jepun atau Nihon(Nippon) dalam bahasa Jepun dikenali secara meluas sebagai Tanah Matahari Terbit. Nihon sebenarnya bermakna asal matahari, iaitu matahari terbit. Jepun juga pernah dikenali sebagai Yamato. Nihon, telah diterima secara am sebagai nama untuk Jepun dan telah digunakan buat pertama kalinya oleh cendiakawan-cendiakawan Jepun. Orang-orang Korea yang telah ramai datang ke Jepun pada awal abad ke 7. Istilah Nippon telah digunakan dengan meluas semasa era Meiji (186-19120 dan Taisho (1912-1926). Selepas perang kedua, Nihon sebaliknya lebih banyak digunakan dirujukkan kepada Jepun.

Kepulauan Jepun terdiri daripada Honshu, Kyushu, Shikoku, Hokkaido dan pulau-pulau kecil yang berhampiran. Honshu, merupakan pulau yang terbesar dan menjadi tempat tinggal empat perlima daripada penduduk Jepun masa kini. Beberapa buah daripada bandar-bandar yang terbesar di Jepun, seperti Tokyo, Osaka, Kyoto, Nagoya, Yokohama, dan lain-lain terletak di pulau ini. Jepun adalah sebuah negara yang kekurangan kawasan-kawasan dataran, perairan, dan sungai-sungai yang panjang lebar. Bagaimanapun, oleh kerana kedudukannya di zon monsun, ia mendapat hujan dan kelembapan yang secukupnya dan dengan yang demikian ia kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Secara am, iklimnya adalah sederhana, dan kempat-keempat musim, (bunga, panas, luruh, dan sejuk) adalah jelas berbeza.

Empat perlima daripada negara Jepun diliputi oleh kawasan pergunungan dan seperlima oleh dataran lanar. Antara dataran-dataran lanarnya ialah yang terkaya terletak di Honshu, terutamanya di sebelah kawasan timur Jepun. Ketiga-tiga dataran tersebut ialah Kanto(terletak di Tokyo), Kinai(terletak di teluk Osaka) dan yang ketiga terletak di Teluk Ise. Ketiga-tiga dataran ini mempunyai penduduk yang padat. Dataran-dataran tersebut amat penting dalam sejarah Jepun kerana ia merupakan kawasan-kawasan pengeluaran makanan dan juga sumber kekayaan dan kuasa utama. Oleh hal itu, dataran-dataran ini telah menjadi punca perselisihan dan persaingan di kalangan tuan-tuan tanah dan keluarga-keluarga feudal.

Orang-orang Jepun sebahagian besarnya berketurunan Mongoloid dan dengan itu mereka mempunyai pertalian rapat dengan orang-orang Cina, Korea, Thai, Burma dan lain-lain. Mereka berbadan sederhana dengan potongan muka yang berbentuk bujur serta rambut dan mata yang berwarna hitam. Orang-orang Jepun berketurunan Mongoloid ini telah sampai ke Kyushu melalui negara China dan kemudian berhijrah ke Honshu, Shikoku, dan Hokkaido. Orang-orang Jepun juga telah berkahwin campur bangsa Ainu.

Orang-orang Ainu merupakan bangsa proto-Caucasoid yang telah menduduki Jepun terlebih awal daripada orang-orang Mongoloid. Beberapa ahli antropologi telah menganggarkan bahawa orang-orang Ainu hidup di Jepun lebih kurang 5000 tahun yang lalu. Hasil-hasil penyelidikan arkeologi, misalnya pertukangan barang-barang tembikar, siput dan lain-lain, menunjukkan kewujudan suatu kebudayaan neolitik yang mungkin telah diteruskan oleh orang-orang Ainu. Apabila semakin ramai orang-orang Jepun (suatu proses yang telah berlanjutan sehingga abad ke-8 Tahun Masihi), orang-orang Ainu, telah berpindah ke utara ke Hokkaido. Dalam proses tersebut, ramai orang Ainu kini merupakan suku bangsa Jepun. Orang Ainu kini merupakan suatu bangsa yang sedang mengahadapi proses pemupusan dan mereka hidup dalam penempatan-penempatan kecil di Hokkaido.

Orang-orang Ainu merupakan salah satu penduduk yang paling awal mendiami Jepun. Pada asasnya mereka merupakan masyarakat primitif yang hidup memburu dan memungut makanan. Kemungkinan juga mereka telah menduduki beberapa ribu tahun yang lalu. Mereka juga telah memiliki kebudayaan yang meyerupai zaman neolitik. Orang-orang neolitik ini telah menggunakan alat-alat harian yang telah diperbuat daripada serpihan batu yang telah digilapkan, tulang ikan dan tanah liat.

Sejarah awal kebudayaan Jepun dikenali sebagai Jomon. Perkataan Jomon ini berasal daripada barang-barang yang telah direka oleh orang-orang Jepun dari tanah liat jenis Jomon. Pertukangan tembikar Jomon telah dijumpai di Jepun telah menunjukkan kehalusan seni dan corak-corak yang luar biasa. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk asli Jepun telah mencapai taraf seni kebudayaan yang agak tinggi menjelang tahun 5000 SM.

Menjelang tahun 5000 SM, dipercayai suku kaum ini telah mengikut aliran hidup yang kolektif dan tetap tanpa jurang perbezaan antara miskin dan kaya. Mereka juga mempercayai suatu jenis kuasa ghaib. Hal ini boleh disimpulkan dari rupa-rupa patung patung dewi yang diperbuat daripada tanah liat dan gada-gada batu besar yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ilmu sihir. Orang-orang yang sudah meninggal dikebumikan tanpa keranda, dengan tangan dan kaki dilipatkan dan kadangkala diletakkan sebuah batu yang besar di atas dada mereka supaya mereka tidak menjelma semula.

Pada hampir tahun 200 Sebelum Masihi, pengaruh kebudayaan dari negara China mula mengalir masuk ke Jepun. Dinasti-Han di negara China(206SM-24SM) mula menekankan pengaruhnya ke atas penduduk awal Jepun. Akibatnya masyarakat Jepun mula mengalami banyak perubahan. Seni berkebun dan membuat perkakas-perkakas tembaga dan besi serta periuk-belanga tembikar yang telah direka pada waktu itu iaitu dari zaman-prasejarah Jepun sehingga hampir abad ke-14 Masihi. Barang-barang tembikar ini telah dicirikan oleh garisan-garisan inrus dan corak-corak ibi mudah dan kemas.
Pertanian merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun pada awal sejarahnya. Pada zaman pemerintahan Kamasura, Jepun telah memperlihatkan pertambahan hasil ekonomi. Pada abad ke-12 dan ke-13 Masihi, hasil pembuatan serta penggunaan alat-alat pertanian telah meningkat. Hal ini menyebabkan lebihan hasil pertanian. Justeru itu banyak bazar dan kedai telah didirikan. Penanaman padi diberikan penumpuan. Pada ketika ini, masyarakat Jepun juga menghasilkan tembikar daripada tanah liat sebagai tambahan kepada pendapatan yang sedia ada kerana sektor tanaman tidak dapat menampung semua penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan disebabkan tanaman padi amat mudah terjejas dengan perubahan iklim. Selain hal itu perlombongan juga merupakan satu pekerjaan yang mendatangkan hasil yang lumayan ketika itu contoh hasil galian ketika itu ialah emas, perak, tembaga, merkuri dan timah. Pertukaran wang juga telah meningkat dengan pesat. Perkembangan ekonomi wang menyebabkan ramai pedagang melibatkan diri dalam perdagangan beras dan sake (sejenis arak yang dibuat daripada beras). Ekoran kegiatan perdagangan yang semakin berkembang, masyarakat Jepun telah melibatkan diri dalam bidang perindustrian sehinggalah ke hari ini.
Pada Zaman Meiji, pendidikan dan ilmu pengetahuan telah menjadi agenda penting untuk menandingi kuasa-kuasa Barat. Pemimpin Meiji sedar bahawa pelajaran penting untuk menjadi kuasa ekonomi dan militari termoden. Hal ini dilakukan dengan penyerapan teknologi pengetahuan dari negara-negara tersebut. Pelajaran juga dianggap sebagai kunci kunci untuk membina sebuah negara yang kukuh. Beratus-ratus penuntut dihantar ke luar negeri untuk mempelajari sains, pentadbiran dan teknik perindustrian Barat. Pada ketika ini, pakar-pakar teknologi Barat telah digaji untuk mengajar pelbagai kemahiran kepada rakyat Jepun. Pada tahun 1871, Kementerian Pelajaran di Jepun telah ditubuhkan manakala setahun kemudian, negara Jepun telah dibahagikan kepada lapan daerah pelajaran. Setiap daerah mempunyai sebuah universiti, 32 buah sekolah menengah dan 210 buah sekolah rendah. Kanak-kanak yang berusia enam tahun ke atas wajib menerima pelajaran sehingga 16 bulan. Menjelang tahun 1880, terdapat lebih 28 000 buah sekolah rendah dengan hampir dua juta orang murid. Walaupun Jepun telah bergelar negara yang membangun, namun Jepun tetap memberi tumpuan dan penekanan dalam bidang pendidikan. Ia merupakan salah satu daripada perkara penting selepas perlembagaan baharu dibentuk. Pendidikan moden di Jepun wujud selepas Pembaharuan Meiji dan tradisi pendidikan wajib serta pendidikan tinggi dibentuk pada tahun-tahun seterusnya. Walaubagaimanapun, sistem ini telah diubah selepas Perang Dunia Kedua, iaitu mengikut sistem pendidikan Amerika Syarikat

Pencapaian Tamadun Islam




Sumbangan-sumbangan itu pula dapat dilihat melalui 8 aspek yang utama iaitu dalam bidang falsafah dan pemikiran, agama islam, kemasyarakatan, ekonomi, perubatan, botani, sains dan teknologi dan bahasa. Untuk melihatnya dengan jelas, eloklah diulas setiap pencapaian dalam setiap aspek itu satu persatu.

1.FALSAFAH dan PEMIKIRAN.
Melalui falsafah dan pemikiran, tamadun Islam telah berjaya menghilangkan pemikiran manusia yang kolot terutamanya pada zaman kegelapan. Dalam aspek ini, konsep pendidikan, keintelektualan dan penerokaan ilmu diutamakan.
Konsep pendidikan dalam tamadun Islam tidak jauh bezanya dengan pendidikan yang diterapkan oleh tamadun lainnya. Oleh kerana pendidikan dalam tamadun Islam banyak memberi sumbangan dalam aspek falsafah dan pemikiran maka pengertian pendidikan Islam harus dihayati dan diaplikasikan untuk membina generasi Islam dan insan yang sempurna. Tarbiyyah ialah satu proses membentuk keperibadian manusia dari satu tahap ke satu tahap sehingga mencapai matlamat terakhir, iaitu insan yang sempurna mengabdikan diri dengan tulus ikhlas kepada Allah s.w.t. Ta’lim pula merupakan satu proses pengajaran atau pemindahan ilmu kepada manusia untuk merealisasikan fungsi, tugas dan statusnya sebagai khalifah Allah di bumi ini. Pengertian pendidikan yang seterusnya ialah Ta’dib iaitu proses mendidik manusia agar mampu mengembangkan segala potensi ke arah pembentukan tatasusila perlakuan atau adab sebagaimana yang dikehendaki oleh islam. Ia bersesuaian dengan sabda nabi Muhamad s.a.w yang bermaksud ‘Tuhanku telah mendidik (addaba) aku dalam bidang adab. Dia telah menjadikan pendidikanku (ta’dib) yang terbaik’. Irsyad pula merupakan petunjuk ke arah jalan yang lurus bagi kehidupan dunia seperti yang digariskan oleh al-Qur’an dan al-sunnah. Tadris yang mana merupakan pengertian terakhir bermaksud pengajaran yang dilakukan oleh seseorang kepada penuntut tentang sesuatu mata pelajaran.
Secara ringkasnya, kita boleh mengatakan bahawa pendidikan melalui pandangan Islam ialan proses pendidikan yang menyediakan seseorang dari aspek tubuh badan, akal, rohani dan mental sehingga menjadi masyarakat yang berguna untuk diri sendiri dan ummah. Melalui prinsip dalam pendidikan ini wujudlah falsafah dalam bidang pengalaman manusia.
Tamadun Islam memulakan perubahan melalui falsafah dan pemikiran manusia apabila Nabi Muhamad s.a.w menerima wahyu yang pertama pada tahun 610 M, iaitu surah al-Alaq’ ayat 1 yang bermaksud;
‘ Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan. Dia menjadikan manusia daripada segumpal darah, bacalah dengan nama Tuhan kamu yang Maha Mulia yang mengajar manusia menulis dengan pena. Tuhan mengajar manusia dengan perkara-perkara yang tidak diketahui.”
Melalui ayat-ayat tadi, Islam diberikan kewajipan untuk menuntut ilmu tanpa mengira jantina dan keturunan. Ayat pertama yang terdapat dalam ayat itu adalah iqra’ (baca) menyeru umat islam untuk membaca kerana membaca adalah langkah pertama yang terbaik yang harus dilakukan dalam proses pendidikan. Sehingga kini, kebaikan membaca itu dapat dilihat dan dipraktikan.
Selain itu, Tamadun Islam yang diasaskan oleh Nabi Muhamad juga telah mengambil langkah untuk mendirikan masjid sebagai pusat pendidikan. Perkembangan Institusi pendidikan pada zaman-zaman berikutnya menyaksikan kewujudan institusi pendidikan Islam seperti Kuttab, masjid dan institusi pengajian tinggi (madrasah/kolej). Sehingga kini, penubuhan pusat pendidikan yang berunsurkan keagamaan ini masih berterusan dan diguna pakai.
Setelah kemangkatan baginda, pendidikan ini terus diperjuangkan oleh beberapa orang khalifah. Contohnya, pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab (13-24H/634-644M), beliau telah mengadakan takwim islam berdasarkan tahun hijrah. Takwin ini bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran negara dan memudahkan urusan dalam aspek pendidikan yang membabitkan penggunaan tarikh. Sehingga kini, kita masih menggunakan tarikh dalam kehidupan seharian kita dan kepentingannya memang tidak dapat dipertikaikan.
Pada tempoh pemerintahan yang diterajui oleh Bani Umaiyah, bidang pendidikan lebih maju dalam membuka pemikiran manusia ke arah falsafah dan pemikiran Islam. Guru-guru yang professional telah ditambah mengikut tahap pendidikan. Mata pelajaran yang diajar juga bertambah iaitu ilmu fikah, tauhid, tafsir al-Qur’an dan hadis, ilmu hisab, sejarah, sastera, ilmu perubatan, kesenian dan falsafah. Ilmu dalam menulis juga dipertingkatkan untuk memahami al-Qur’an. Proses pendidikan ini seterusnya membawa manusia dahulu dan sekarang maju dalam pendidikan.
Ilmu tasawwuf juga merupakan salah satu ilmu tamadun Islam yang dikenali sebagai tasawuf falsafah dalam teori wahdat al-wujud yang diasaskan Ibn’Arabi. Ilmu yang masih diguna pakai sehingga kini ini merupakan satu jalan untuk mengenal Tuhan. Ia mesti melalui perlbagai peringkat iaitu berguru, memahami syariat, memasuki tarekat dan sampai kepada hakikat, iaitu makrifat Allah s.w.t.
Falsafah juga boleh dilihat melalui tokoh-tokoh Islam yang dicontohi oleh orang Eropah seperti al-Kindi, al-FarabiIbn Tufayl dan Ibn Rushd. Selain itu, Ibn Tufayl dengan karyanya Hayy Ibn Yaqzan yang mengungkapkan bahawa manusia boleh mengenal Tuhan tanpa wahyu dan guru telah mempengaruhi pemikiran orang Eropah. Karya ini telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Roger Bacon dan diterbitkan bersama-sama teks Arab di Oxford pada tahun 1671.
Seterusnya karya tersebut diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah yang lain. Bukan se­takat menterjemah, malahan orang Eropah juga menghayatinya melalui penciptaan kisah-kisah berdasarkan idea yang dikemukakan dalam buku tersebut. Antara kisah tersebut ialah buku Robinson Crusoe yang dihasilkan pada abad ke­ 18M.
Demikian juga dengan idea falsafah Ibn Rushd telah mempengaruhi ahli falsafah Eropah sejak abad ke-12M lagi. Pada abad ke-16M, falsafah Ibn Rushd, menurut Renan, telah diamalkan secara rasmi oleh golongan terpelajar di Itali.
Sumbangan tamadun ini juga dapat dilihat melalui perubahan sikap mereka terhadap kehidupan di dunia. Orang Eropah menganggap kehidupan di dunia bukan lagi sesuatu yang dibenci lantaran ia merosakkan, tetapi sesuatu yang mesti diisi dengan aktiviti kehidupan yang bermakna. Perubahan sikap ini akhirnya melahirkan satu gerakan intelektual yang dikenali sebagai fahaman humanisme pada abad ke-13M.
Selain daripada pendidikan melalui buku dan sekolah, penerokaan atau penjelajahan juga turut menyumbang kepada ilmu pengetahuan untuk mengubah falsafah dan pemikiran manusia. Ia juga membantu manusia mengambil pengetahuan melalui tamadun sebelumnya dan pemerhatian Islam. Penerokaan itu termasuklah penerokaan ilmu astronomi, geografi dan perubatan.
Sumbangan tamadun Islam pada ketika itu bukan sahaja diguna pakai pada zaman tersebut tetapi sebenarnya masih berterusan sehingga kini. Ianya dapat dilihat melalui kepentingan ilmu yang diwar-warkan di seluruh dunia.

2. KEMASYARAKATAN.
Umumnya manusia mengenali masyarakat Islam sebagai kelompok manusia yang beragama Islam dan mengamalkan ajaran Islam dalam satu masyarakat Islam. Namun, realitinya masyarakat Islam ialah orang Islam yang hidup bersama-sama golongan bukan Islam dalam satu kelompok masyarakat yang berlandaskan nilai-nilai Islam
Sebelum kedatangan tamadun Islam, kehidupan manusia sangat kacau bilau terutamanya pada zaman jahiliah. Zaman ini merupakan zaman kegelapan di mana manusia mencapai kemajuan kebendaan yang tinggi namun amat teruk dari segi kerohanian. Pelbagai perkara yang tidak baik berlaku seperti amalan riba dan penindasan dalam kegiatan ekonomi, dan wujudnya system kabilah dengan semangat ‘assabiyyah yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat. Semangat ini menyebabkan berlakunya persengketaan yang membawa kepada kerosakan keharmonian masyarakat sejagat walaupun perkara yang menjadi punca hanya perkara yang kecil. Selain itu, wanita pada zaman tersebut tidak dipandang kerana dianggap tidak berguna. Mereka juga sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana menganggap wanita memberi masalah sosial dan ekonomi kepada mereka.
Pada peringkat awal masyarakat Melayu, mereka terpengaruh dengsn elitisme yang diwarisi daripada zaman hindu-buddha dan juga kehidupan pada zaman kegelapan. Ia diteruskan dengan peringkat awal selepas kedatangan Islam di mana sistem sosial masih lagi berasaskan kesedaran kelas (class consciousness) atau bersifat superior-inferior (golongan pemerintah & yang diperintah). Ini membentuk halangan sosial (social barrier) antara atasan & bawahan.
Oleh itu, Tamadun Islam memperkenalkan konsep keadilan tanpa mengira kedudukan atau pangkat dalam masyarakat. Konsep ini lebih dikenali dengan konsep persamaan taraf manusia. Oleh itu, tidak ada perbezaan taraf masyarakat yang membolehkan masyarakat yang lebih rendah tarafnya ditindas. Wanita juga menjadi semakin penting dalam masyarakat kerana kewujudan mereka dihargai. Konsep persamaan taraf manusia yang diperkenalkan oleh tamadun Islam membawa kepada keamanan masyarakat.
Tamadun Islam juga memperkenalkan sistem Khalifah yang adil dan sistematik. Kesan daripada perubahan ini gelaran raja ditukar kpd sultan kemudian diwujudkan sistem syura di kalangan ahl al-hal wa al-aqd dan sistem hisbah yg megawal kemungkaran.
Selain itu, boleh dikatakan bahawa masyarakat Islam yang pertama yang terbentuk ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya di Madinah, sebaik sahaja Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah. Baginda dan para sahabatnya telah mendirikan masyarakat yang berlandaskan nilai-nilai Islam dengan gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan menjadi contoh.
Tamadun Islam juga menyedarkan masyarakat bahawa mereka mempunyai hak-hak tertentu. Setiap individu dalam masyarakat mempunyai hak hidup dengan aman dalam sebuah masyarakat. Kebebasan berfikir, beragama dan melahirkan pendapat juga seharusnya dimiliki oleh setiap anggota masyarakat. Setiap individu bebas bergerak dan melakukan sebarang aktiviti yang bermanfaat tanpa batasan warna kulit atau pegangan agama.
Setiap manusia juga boleh menegakkan kebaikan dan menentang kemungkaran. Perlindungan politik juga diberi kepada sesiapa sahaja yang teraniaya tanpa mengira bangsa, pegangan agama dan warna kulit. Setiap individu juga berhak untuk bekerja dan mengusahakan sesuatu untuk mencari rezeki dan kekayaan yang halal.
Oleh kerana masyarakat pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, budaya, bahasa dan kelas. Masyarakat yang beragama Islam mesti tunduk kepada hukum Islam manakala masyarakat yang bukan Islam yang tinggal dengan aman bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang Islam kerana ia tertakluk kepada tanggungjawab politik, bukan tanggungjawab aqidah atau agama.
Sehingga kini, kita dapat melihat bahawa prinsip persamaan taraf yang diperkenalkan oleh tamadun Islam tersebut membantu masyarakat sejagat untuk mengekalkan keharmonian masyarakat.


3.EKONOMI
Dalam tempoh zaman jahiliah, aktiviti ekonomi diadakan dengan menggunakan amalan riba dan penindasan. Mereka yang berada dalam peringkat tertinggi dalam tingkat kehidupan manusia akan menindas golongan bawahan. Hal ini menyebabkan jurang kehidupan antara pihak atasan dan bawahan sangat berbeza. Namun demikian setelah kedatangan tamadun Islam, keadaan ini berubah.
Ekonomi Islam ialah suatu ilmu yang berteraskan syaria’ah bagi melindungi ketidakadilan dalam pemerolehan dan penggunaan sumber alam ,dengan memenuhi kepuasan manusia untuk melaksankan tanggungjawab terhadap Allah dan masyarakat keseluruhannya.
Bagi memastikan hak milik perseorangan, hak milik bersama dan hak milik negara terjamin, wujud hal-hal yang berkaitan seperti soal percukaian, pembangunan tanah, pertanian, galian dan perlombongan. Kegiatan-kegiatan perdagangan, perniagaan, perindustrian, pertanian dan pelaburan juga turut diperkembangkan.
Cara kegiatan ekonomi ini dijalankan menghasilkan kemajuan yang pesat dalam kehidupan masyarakat. Banyak pencapaian yang dicapai malah aktiviti ekonomi dalam bidang pertanian dan perdagangan diteruskan selepas kedatangan Islam dengan jayanya. Islam juga meningkatkan aktiviti perdagangan dalam kalangan orang Melayu yang dahulunya merupakan antara masyarakat yang tertindas.
Berikutan dengan itu, lahir pasar besar bertaraf antarabangsa yang dihadiri oleh pedagang Arab, Parsi, China, India dan sebagainya. Sistem barter bertukar dengan penggunaan sistem mata wang. Ekonomi berasaskan perdagangan dan pertanian yang dijalankan juga adalah merupakan hasil diplomatik antara tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain. Banyak penemuan dan teknik baru dalam pertanian, perindustrian dan sistem pengairan yang meningkatkan taraf ekonomi mereka. Hasil-hasil tanaman dieksport untuk mendapatkan keuntungan selain menapung keperluan rakyat. Antara tokoh-tokoh yang terkenal dalam kegiatan ekonomi adalah Al-Qurtubi dan Al Suhrawi.
Meninjau keadaan ekonomi kita sekarang, kita sebenarnya dapat melihat dengan jelas persamaan system perdagangan dan pertanian yang diadaptasi daripada cara yang digunakan oleh masyarakat tamadun Islam suatu ketika dahulu.

4.PERUBATAN
Dalam ajaran agama Islam setiap penyakit datangnya drpd Allah S.W.T dan hanya Allah yang boleh menyembuhkannya melalui ikhtiar atau usaha yang dilakukan. Ikhtiar yang dimaksudkan ialah melalui pengambilan rawatan (ubat) serta doa dan penggunaan ayat-ayat Al-Quran. Hal ini demikian kerana Kesakitan (nyeri) penyakit ialah cabaran dan dugaan Allah S.W.T untuk menguji ketabahan dan kesabaran seseorang. Sebenarnya terdapat cara untuk menghindar daripada menghidap penyakit. Antaranya ialah amalan beriadah dan rekreasi. Menjaga kebersihan (fizikal, mental & spiritual) dan tidak boleh berputus asa dalam usaha menyembuhkan semua penyakit.
Dalam tamadun Islam, banyak perkara yang telah dicapai dan semestinya digunakan sehingga kini. Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariyya al-Razi (Rhazes) merupakan ahli perubatan yang pertama membezakan penyakit cacar dan campak. Dia juga telah membahagikan ubat kepada 3 kategori iaitu galian (mineral), sayuran (vegetables) & benda hayat (biological).
Ali ibn al-Abbas al-Ahwazi pula merupakan Ahli perubatan yang pertama menerangkan hubungan antara rangkaian urat dengan arteri. Beliau juga menerangkan kepayahan untuk menyembuhkan penyakit tibi seterusnya menyedarkan manusia supaya berjaga-jaga dalam semua perkara terutamanya melakukan perkara yang mendedahkan mereka kepada penyakit tibi. Beliau juga Berjaya mencipta dan menerangkan pelbagai jenis pil, bedak, sirap, salap dan sebagainya.
Abu al-Qasim Khalaf Ibn al-Abbas al-Zahrawi pula mempelopori pengetahuan tentang pembedahan biasa, kaedah mengeluarkan batu dari pundi kencing, pemotongan organ serta pembedahan mata dan gigi. Beliau juga ada menulis tentang gynaecologi iaitu masalah yang berkaitan dengan mata & telinga. Ibn Sina (Avicenna) pula menerangkan dengan lebih lanjut mengenai meningitis dan melanjutkan penerangan Ali ibn al-Abbas al-Ahwazi mengenai tibi dengan penemuan tentang proses bagaimana tibi berlaku. Faktor penyakit kuning (jaundice) juga dikenalpasti oleh beliau.
Selain itu, Abu Qasim ibn al-Khalaf ibn al-Abbas al-Zahrawi telah Mencipta alat perkakas terutama dalam proses pembedahan dan Berjaya mencipta 300 jenis alat dan perkakas yang diperlukan dalam perubatan. Di samping itu, buku-buku perubatan telah ditulis oleh tokoh-tokoh yang dilahirkan dalam tamadun Islam iaitu Shifa, Al-Urjuzah fi Tibb Qawanin, Al-Kitab al-Malaki dan sebagainya dan turut diterjemahkan ke dalam bahasa Barat. 


5.SAINS dan TEKNOLOGI
Seperti bidang-bidang lainnya, bidang ini juga sangat berkait rapat dengan tamadun Islam. Dalam bidang astronomi, Ibn Al Zarqiyali telah dikenalpasti sebagai seorang tokoh yang mahir dalam menentukan gerhana matahari. Beliau juga telah mencipta kompas untuk menentukan jarak antara bulan & bumi di antara bintang dan matahari. Abdul Rahman Al-Sufi (Tokoh astronomi) juga telah menulis buku yang bertajuk Figures of stars yang memuatkan peta bintang-bintang tetap dengan rajah. Buku ini menjadi panduan para pedagang yang belayar untuk ke tempat-tempat yang ditetapkan.
Selain itu, Muhammad bin Musa telah mencipta jam Astrolab iaitu alat yg boleh mengukur masa di dunia. Abu Solet pada abad ke 12 M telah mencipta alat yang boleh menimbulkan semula kapal yang tenggelam. Abu al-Rayhan al-Biruni pula merupakan saintis yang terkenal dan mahir dalam matematik dan astronomi. Penemuannya digunakan dalam meramal gerhana matahari.
Bidang fizik dalam dunia moden ditakrifkan sebagai cabang ilmu yang berkaitan dengan kejasmanian. Dan tidak merujuk kepada pencipta. Tetapi, Fizik dalam agama Islam mengutamakan konsep “fizik tidak menafikan metafizik” iaitu penekanan dalam perkaitan antara fenomena alam dengan Khaliq. Dalam bidang ini Kamal al-Din al-Farisi telah membuat penerangan tentang fenomena kejadian pelangi. walaupun penerangannya dikatakan hampir sama dengan tokoh barat (Theodoric of Freiberg) namun pada zaman itu dipercayai bahawa penerangan beliau adalah yang terbaik. Usul mereka pada zaman itu juga sama dengan usul yang digunakan sekarang.
Ibn Haitham pula dikenali sebagai bapa optik moden. Dia menghabiskan masa dengan teori fizikal-bayang2, matahari, pelangi dan beliau juga sangat mahir dalam pelbagai bidang. Al-Biruni yang merupakan ahli fizik juga banyak menganalisis konsep asas jirim, graviti, ruang dan gerakan bumi.
Surahwadi pula telah menyediakan asas bagi fizik cahaya. Dia juga mengemukakan konsep alam dan planet tertakluk kepada daya dan hukum yang sama. Beliau juga telah membongkar hukum graviti semesta dan menjalankan banyak eksperimen mengenai cahaya.
Dalam cabang kimia, Ibn Sina telah membezakan semua jenis logam dan memperkembangkan ilmu kimia JABIR IBNU HAYYAN. Abu Musa Jabir Ibn Hayyan Al-Tusi telah memperkenalkan kaedah Sejatan, penyulingan, pemejalwapan, penghabluran, kaedah oksida logam bakar, percantuman dan turunan. Beliau juga mncpta asid galian seperti HNO3, H2SO4 yang banyak digunakan dalam kosmetik. Beliau juga telah mencipta bahan kimia yang boleh melebur emas yang dpanggil aqua regia dan turut menemukan kaedah pemurnian besi.
Tamadun Islam juga telah mengasaskan penciptaan bahan-bahan kosmetik melalui penemuan dan pencantuman bahan kimia. Antara kosmetik tersebut ialah, gincu, deodorant, pisau pencukur, losyen tangan, pewarna rambut, pemutih gigi dan penghasilan minyak wangi.
Dalam penciptaan teknologi, Ibn Al-Haytham telah mempelopori penciptaan kamera yang digunakan secara meluas sehingga kini. Beliau mengemukakan bahwa cahaya bergerak lurus dan digunakan dalam penciptaan kameranya. Di samping itu kompas dicipta dan digunakan dalam pelayaran dan ini membantu kegiatan perdagangan berkembang dengan pesat.

Pencapaian Tamadun India


India

Perancangan Bandar
Keupayaan untuk mewujudkan sebuah bandar terancang seperti Mohenjo-Daro dan Harappa bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya memerlukan gabungan kepakaran sama ada dari sudut letak bandarnya mahupun dari sudut pengisiannya.
Oleh yang demikian, pemahaman tentang ilmu geometri, kesenian, dan matematik sangat diperlukan. Kemampuan masyarakat Lembah Indus mencapai kecemerlangan dalam perancangan bandar berkait rapat dengan kemajuan dalam bidang geometri dan pembinaan.
Pemahaman geometri hasil daripada pertembungan tamadun ini dengan tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba telah membolehkan perancangan bandar disusun berasaskan bentuk segi empat yang diikuti oleh jalan raya yang lurus.
Di samping itu, masyarakat Lembah Indus telah berusaha meningkatkan mutu bahan binaan. Hal ini telah berjaya dilaksanakan apabila masyarakat Indus tidak hanya bergantung pada panas matahari untuk membuat batu bata daripada tanah liat. Sebaliknya, batu bata itu. dihasilkan melalui pembakaran dengan suhu yang tinggi. Berasaskan perkara ini, kecemerlangan perancangan bandar dalam tamadun Indus, sebenarnya, merupakan gabungan daripada pelbagai pengetahuan dan pencapaian termasuklah geometri dan matematik serta teknologi pembakaran batu bata.

Hubungan luar
Sifat keterbukaan yang dibuktikan oleh tamadun ini dalam membuat hubungan dengan tamadun lain juga merupakan satu lagi aspek yang sangat penting.
Dari sudut ini, tamadun Indus memperlihatkan bahawa sesebuah masyarakat itu tidak akan mampu mencapai kecemerlangan tanpa membuat hubungan serta bertukar pandangan dengan pihak lain. Hubungan dengan tamadun Mesopotamia serta tamadun Mesir Purba telah membolehkan kedua-dua belah pihak memperoleh manfaatnya sama ada dalam bentuk pertukaran teknologi atau seumpamanya.
Walau. bagaimanapun, dalam konteks hubungan antara tamadun Indus dengan tamadun Mesopotamia, segala pengaruh dari luar itu disesuaikan dengan keadaan dan suasana tempatan.

Keamanan
Tamadun Indus telah menunjukkan kepada masyarakat dunia moden hari ini beberapa aspek yang sangat penting dalam proses pembinaan sesebuah tamadun, termasuk keamanan. Tamadun Indus mengajar kita bahawa kedamaian dan keamanan ialah tunjang kepada kekuatan sesebuah bangsa untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan.


Pencapaian Tamadun di China


China

1.     Kesusasteraan dan Kesenian

Sejarah kesusasteraan cina bermula seawal kurun ke-14 SM dan diteruskan perkembnagannya sehingga lebih 300 tahun. Bahasa cina dapat dikekalkan identitinya walaupun negara China pernah ditalukki oleh orang asing seperti mongol (dinasti Yuan, 1279 –1368) dan orang Manchu (dinasti Qing, 1644 – 1911). Ini adalah kerana tulisan cina tidak bersifat fonetik sebaliknya berbentuk grafik. Sifat yang berbentuk grafik ini telah meninggalkan kesan terhadap kesusasteraan cina dan penyebarannya.Terdapat pelbagai gengre sastera cina klasik seperti puisi, prosa, drama dan juga fiksyen. Antologi puisi cina yang terawal ialah Shi jing yang mengandungi 305 buah nyanyian kuil, nyanyian istana dan rakyat yang wujud dalam tempoh antara zaman Zhou Barat (kurun ke 11 SM –771 SM) hingga zaman Musim Bunga Musim Luruh (770 SM – 476 SM). Antologi ini dikumpul pada masa konfusius (551 SM – 479 SM) di kawasan Lembah Huanghe. Secara amnya, puisi cina berhubung rapat dengan muzik dan ia bersifat padat dan singkat. Puisinya juga lebih naratif atua diskriptif yang mempunyai fungsi sosial dan politik.Perbezaan prosa dan puisi adalah kurang jelas. Prosa dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu prosa bercampur puisi (poetic prose), prosa berirama (rhyme prose), rapsody (rhapsody),dan puisi bersifat prosa (poetry prose). Prosa klasik atau dikenali guwen adalah dominan dalam sastera klasik cina dan ia mempunyai fungsi sosial dan politik. Drama cina berkembang agak lewat kerana penaklukan dinasti Yuan (1279 –1368). Walaubagaimanapun, drama cina dari jenis zaju – drama berbentuk puisi yang digubah mengikut kesesuaian muzik sangat bersemarak pada zaman dinasti Yuan. Drama digunakan oleh penulis sebagai saluran untuk meluahkan ketidakpuasan perasaan dan mengkritik kerajaan pemerintah seperti drama Dou’er Yuan (ketidakadilan Yuan). Menjelang lewat kurun ke-18, drama rakyat dari pelbagai daerah mula berkembang dan dipentaskan kepada umum. Dari sini, lahirlah opera cina yang menjadi salah satu kegemaran rakyat cina dalam drama. Drama juga digunakan oleh konfusius untuk menerapkan nilai-nilai moral dan etika. Tamadun cina juga tidak ketinggalan dalam mencipta keseniannya. Muzik klasik, kaligrafi, seni lukis dan seni pembinaan merupakan kesenian yang terawal dalam tamadun cina. Sistem melodi muzik klasik cina adalah kompleks di mana alat-alat yang digunakan dikategorikan mengikut bahan akustik dan cara sesuatu alat itu dimainkan. Muzik bagi tamadun cina adalah sesuatu yang berharmoni dengan alam semesta dan di letakkan pada satu kedudukan penting pada fahaman konfusius. Pada abab ke-8, kemasukkan muzik dari tamadun lain telah memeriahkan lagi suasana muzik di cina terutamanya dengan kemasukkan tamadun India dan Asia Tengah.Kaligrafi merupakan salah satu kesenian yang paling tinggi diberi penghormatan dalam tamadun cina. Kaligrafi ditulis dengan menggunakan dakwat, berus, kertas dan kadang-kadang sutera. Perkembangan kaligrafi telah menghasil pelbagai bentuk tulisan cina. Kaligrafi dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan seni lukis dan puisi. Su Dongpo (1037 – 1101) pada zaman dinasti Song merupakan seorang pelukis dan juga seorang pakar kaligrafi. Seni lukisan cina pada dasarnya terbahagi kepada dua kategori iaitu xieyi (freehand) dan juga gongbi (menggunakan garis halus).

2.     Sains dan teknologi

Kajian arkeologi menunjukkan sain dan teknologi Cina telah wujud pada kurun ke-15 sehingga kurun ke-11 SM. Pada awalnya teknologi kejuruteraan digunakan dan dikembangkan kerana untuk mengawal banjir Sungai Kuning. Antara lain-lain teknologi adalah dalam bidang astronomi, perubatan, optik dan kimia. Di zaman dinasti Zhou dalam kurun ke11 hingga ke 3 SM, orang cina telah mampu menyediakan maklumat berkaitan dengan bintang dengan terciptanya peralatan astronomi. Sampoa digunakan pertama kalinya oleh ahli matematik cina iaitu Xu Yue dalam kurun ke2 SM. Buku jiuzhang suanshu (sembilan bab matemetik) yang ditulis oleh Zhang Cang pada kurun ke-2 menunjukkan penemuan mengenai kuantiti negatif, sistem pecahan dan perpuluhan. Perkembangan perubatan cina bermula dari sistem perubatan cina tradisional yang terdiri dari teori kosmik dualistik yin dan yang, teori lima elemen, dan juga teori jing dan luo. Teori yin dan yang menyatakan keseimbangan kedua-dua kuasa ini mempengaruhi kesihatan manusia. Teori lima elemen menganggap bahawa tubuh manusia yang terdiri dari organ luaran dan dalaman adalah berpadanan dengan lima elemen dalam alam semesta. Teori jing dan luo merupakan asas kepada rawatan terapeutik seperti moxisbustion (membakar daun moxa) dan akupuntur. Teori ini berpendapat bahawa, organ dalaman, tangan dan kaki adalah berkaitan dan dihubungkan oleh saluran dimana darah dan qi (tenaga dinamik) beredar. Gangguan pada sistem ini akan menyebabkan seseorang tidak sihat. Buku-buku perubatan cina seperti Huangdi neijing dan Bencao gangmu dipercayai sebagai pemangkin kepada perkembangan perubatan modem oleh barat. Terdapat empat ciptaan agung dalam tamadun cina iaitu teknik membuat kertas, pencetakan, bahan letupan dan kompas. Cai Lun telah berjaya membuat kertas dengan menggunakan fiber tumbuh-tumbuhan pada tahun 105. Teknologi pencetakkan telah mula diperkenalkan semasa pemerintahan dinasti Tang (618 –906) di mana buku jingang jing dipercayai buku yang terawal dicetak iaitu pada 11 Mei 868. Bahan letupan telah dihasilkan oleh ahli kimia cina pada kurun ke-7 apabila ahli-ahli kimia Daois berjaya mencampurkan saltpetre dengan sulfur dn karbon. Pada zaman dinasti Tang, pihak militari telah menggunakannya dalam peperangan. Pada zaman pemerintahan dinasti Han (206 –220 SM) sifat-sifat magnet telah ditemui di cina. Penemuan tentang gejala magnet aruhan (induced magnetism) dalam kurun ke-6, pengherotan (declination) dan juga kekutuban magnet (polarity) pada kurun ke-8 dan ke-9, telah membuahkan penghasilan kompas oleh orang cina dan digunakan semasa pelayaran.

Perkembangan Tamadun Islam




Tamadun Melayu ialah sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) atau Gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jawi dan sebagainya. Dua elemen yang menjadi faktor utama yang mewarnai wilayah ini sebagai Melayu ialah pertama, bahasa Melayu yang menajdi lingua franca atau bahasa perhubungan luas di seluruh kawasan ini, dan kedua, agama Islam yang dianuti oleh majoriti penduduknya. Islam juga disampaikan dengan perantaraan bahasa Melayu dengan kitab-kitabnya tertulis di dalam tulisan Jawi.

Istilah Melayu boleh juga ditakrifkan berdasarkan rumpun bangsa dan bahasanya iaitu Melayu tergolong di dalam cabang Melayu-Indonesia yang mengelompokkan bersama-samanya suku Jawa, Sunda, Madura, Aceh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis, Melanau, Sulu dan sebagainya. Cabang Melayu-Indonesia terangkum pula di dalam Rumpun Bahasa Austronesia daripada keluarga bahasa sumbernya iaitu Keluarga Bahasa Austric.

Kerajaan-kerajaan pra-Islam di Alam Melayu terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, berbentuk agraria yang menjadikan kegiatan pertanian sebagai latarbelakang ekonomi negara. Antaranya ialah empayar Funan dan kerajaan Angkor di Tanah Besar Asia Tenggara dan Majapahit di Jawa. Kerjaan Funan merupakan negeri pertama yang menerima pengaruh kebudayaan India (Hindu- Buddha), sejak kurun pertama Masihi.

Seterusnya Funan telah berkembang menjadi kerajaan berbentuk maritim, iaitu bentuk kerajaan yang kedua, yang menjadikan kegiatan perdagangan laut sebagai latarbelakang ekonomi negara. Kerajaan demikian memiliki sebuah atau beberapa buah pelabuhan entrepot. Pelabuhan entrepot memainkan peranan penting sebagai pusat persinggahan pedagang-pedagang dan pengumpulan dan penyebaran barangan dari Barat ke Timur dan sebaliknya. Melalui peranan pelabuhan entrepot ini, pusat-pusat demikian menjadi pintu masuk pengaruh asing yang melahirkan interaksi antara tamadun. Antara pelabuhan-pelabuhan entrepot dan kerajaannya ialah Oc Eo di Funan (kurun ke-2), Ligor dan Singora di Langkasuka (kurun ke-2), Lembah Bujang di Kedah (kurun ke-4), Kuala Selinsing di Perak (kurun ke-5), di Sumatra Kan-t'o-li (kurun ke-5), Jambi/Melayu (kurun ke-6/7) yang dicantumkan dengan Srivijaya di Palembang (kurun ke-7), Surabaya dan Tuban di Jawa Timur (pada zaman Airlangga kurun ke-11 dan kerajaan Majapahit kurun ke-13).

Srivijaya dari kurun ke-7 hingga ke-11 merupakan kerajaan maritim Melayu yang terpenting yang mendominasi seluruh pesisir laut di utara dan barat Sumatara, Semenanjung Tanah Melayu dan Jawa Barat dan juga perairan Selat Malaka dan Selat Sunda. Di Pulau Jawa, empayar Majapahit di peringkat awal merupakan kerajaan berbentuk agraria di lembah Sungai Berantas, tetapi melalui dasar peluasan kuasa dan perdagangan ia bertukar menjadi kerajaan maritim


terpenting dari kurun ke-13 hingga ke-15/16. Kemunculan dan pembinaan negara-negara kota dan kerajaan pada zaman ini telah menjadi pusat-pusat kepada pembinaan dan pembentukan tamadun Melayu seterusnya.


Perkembangan Tamadun India


Tamadun Indus wujud antara tahun 2500-1800 S.M.Selepas tempoh ini tamadun Indus telah mengalami keruntuhan. Hal ini dikaitkan dengan kedatangan orang Aryan yang telah membawa satu budaya dan tahap baru kepada masyarakat Lembah Indus.Tahap ini dikenali sebagai Zaman Vedik. Zaman Vedik merupakan permulaan kehidupan beragama bagi masyarakat tersebut kerana pada zaman itulah lahirnya agama Hindu. Setalah beberapa ketika bertapak di Lembah Indus, menjelang abad ketujuh Sebelum Masihi perhatian masyarakat tersebut beralih ke Lembah Ganges.
   
 Pada zaman ini terdapat golongan pemerintah yang terdiri daripada golongan raja.Terdapat dua bentuk kerajaan, iaitu janapada atau kerajaan kecil dan mahajanapada atau kerajaan besar. Di bawah pemerintahan Chandragupta Maurya, kerajaan-kerajaan kecil ini telah disatukan. Pada tahun 321 S.M. telah lahir empayar yang pertama di India. Ini berlaku semasa pemerintahan Dinasti Maurya apabila seluruh India uatara telah disatukan. Dinasti ini mencapai kemuncak kegemilangan pada ketika pemerintahan Asoka. 

Perkembangan Tamadun Di Asia




China
Tamadun China adalah sebuah tamadun yang lama bertahan, iaitu sejak 4000 tahun yang lalu, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan halangan disebabkan pencerobohan kuasa asing.

Sejarah Tamadun China bermula dengan lembah sungai. Di utara bermula dengan Huang He (Sungai Kuning) Sekitar 3950–1700SM). Sungai ini mengalir dari pergunungan Kun Lun ke Timur, merentasi Utara China sehingga ke Teluk Bo-Hai, sepanjang 3,395 batu. Dibangunkan masyarakat tani semi tetap, pada era Neolitik kebudayaan Yangshao. Tokoh terkenal Huang Ti (Maharaja Kuning 2000SM).

Di Tengah dan Selatan China, bermula dengan Sungai Yangtze, terpanjang di China (3915 batu), mengalir dari Gunung Qinghai dan Tibet membelah ke bahagian Timur China berakhir di Laut China Timur. Kesan kehidupan Neolitik ditemui di wilayah Guangdong dan kesan kebudayaan Peng-Keng turut dikenalpasti di Taiwan (5000-3000SM.).

SEJARAH RINGKAS TAMADUN CHINA
Sejarah perkembang tamadun China boleh dilihat dalam empat zaman:
- Zaman Pembinaan
- Zaman Keagungan
- Zaman Peralihan dan
- Zaman Moden

ZAMAN PEMBINAAN
Iaitu tahap awal pembinaan, muncul pelbagai dinasti (Dinasti Hsia-Chou- Hin), muncul sistem politik monarki dan era feudalisme. Zaman Dinasti Chou timbul peperangan akibat kelonggaran sistem pemerintahan yang memberi kuasa kepada tuan-tuan tanah di wilayah masing-masing. Hasilnya muncul pelbagai aliran seperti Konfusius, Taoisme dan Legalisme yang memberi sumbangan besar kepada Tamadun China. Kemunculan Shih Hwang Ti (221-210SM.) China dapat disatukan.


ZAMAN KEAGUNGAN
Bermula dengan zaman Dinasti Han (206SM-23M di Han-Barat dan 25-265M Han-Timur), menguasai wilayah yang luas dan cekap mentadbir. Penduduk seramai 60 juta. Dinasti ini berakhir dengan pemberontakan dalaman diikuti zaman kekacauan selama 350 tahun, berlanjutan hingga zaman Dinasti Tang.

Dalam pada itu juga tamadun China turut menyaksikan kehadiran Pengaruh Islam sebagaimanan direkodkan dalam “Chinese Annals” mengenai kisah orang Arab dalam Dinasti Tang sekitar (618-907M.). Pelbagai bangsa yang beragama Islam mendiami negara China seperti; Uighur, Kazakh, Dongxiang, Kirghis, Salar, Tadjik, Uzbek, Tartar, dan Baoan. Rentetan daripada itu muncullah masyarakat China Islam yang terdiri di kalangan kaum Hui.

Zaman Maharaja Yong Hui (651M), Dinasti Tang dicatatkan kehadiran utusan Khalifah Saidina `Uthman bin `Affan ke Cangan/Xian. Hubungan diplomatik yang dianggap paling menyerlah berlaku pada zaman Dinasti Yuan (1271-1368).


Kemuncak keemasan berlaku pada zaman Dinasti Ming (1368-1644). Menurut catatan rasmi orang-orang China, hubungan antara Arab Parsi dengan China melalui darat dan laut. Dikatakan kapal-kapal dagang China telah sampai ke Teluk Parsi sejak abad ke-5 masehi lagi.

Saad bin Abi Waqas dikatakan pernah sampai ke China, diperkuatkan lagi dengan kata-kata Saidina Umar r.a.: ”Tuntutlah ilmu walaupun di negeri China”. Panglima Islam Qutaybah bi Muslim dikatakan pernah menguasai Singkiang dan mara ke Kansu. Pada tahun 713M. hubungan dengan Maharaja Hsuan turut diadakan. Melihat kepada perkembangan sejarah berkenaan, menunjukkan Islam datang ke China sejak zaman Rasulullah s.a.w. Lagi.

ZAMAN PERALIHAN
Bermula dengan pencerobohan orang Gasar. Pada pertengahan abad ke-13, bahagian Utara China ditakluki oleh Monggol. Dinasti Song terpaksa berpindah ke Selatan dan berakhir pada 1271M. Di bawah pimpinan seorang petani Buddha Dinasti Ming kembali berkuasa. Namun pada tahun 1644, orang Manchu pula menguasai sehingga kedatangan ancaman Barat pada abad ke-19.


ZAMAN MODEN
Tamadun China mengalami perubahan ketara sekitar 1839-1842, apabila China dikalahkan oleh Barat dalam Perang Chandu. China diaibkan dengan syarat perjanjian yang tidak adil menyentuh kedaulatan China. Dalam pada itu pengaruh Barat mula meresap dan menghambat keluar amalan dan nilai tradisi tempatan. Para intelektual China mula mengkagumi sistem demokrasi ala Barat dan ideologi Komunis. Komunis berjaya menguasai China pada tahun 1949. Ekoran daripada itu, cabaran terhadap nilai-nilai tradisional mula dirasakan, pengaruh ideologi Barat mula tersebar. Pengaruh Marxisme oleh parti Komunis China pimpinan Mao Zedong (1949-1976) mula membara. Implikasi daripada itu beberapa perubahan mula berlaku

Apakah itu tamadun?




Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab, iaitu daripada perkataan mudun dan madain. Satu lagi perkataan Arab yang mempunyai kaitan dengan perkataan tamadun madana yang mempunyai dua maksud, iaitu tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Perkataan daripada bahasa Inggeris yang mempunyai persamaan makna dengan tamadun ialah civilization yang berasal daripada bahasa Greek, iaitu civitas yang bermaksud bandar. Tamadun juga boleh diertikan sebagai peradaban.

Setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi yang tersendiri tentang konsep tamadun. Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran. Menurut pandangan beberapa sarjana Barat, misalnya, Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyarakat.Darcy Riberio dan R.A. Buchanan pula menolak unsur rohaniah sebaliknya hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun.

Menurut Islam, tamadun mestilah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh itu, Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua unsur ini penting untuk mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Mengikut pandangan Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat.Pandangan sarjana Islam ini turut disokong oleh sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.

Secara umumnya, konsep tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian berbentuk lahiriah seperti kesenian dan pembinaan kota semata-mata tetapi juga mestilah diiringi dengan pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral.