Friday 10 August 2012

Perkembangan Tamadun Islam




Tamadun Melayu ialah sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) atau Gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jawi dan sebagainya. Dua elemen yang menjadi faktor utama yang mewarnai wilayah ini sebagai Melayu ialah pertama, bahasa Melayu yang menajdi lingua franca atau bahasa perhubungan luas di seluruh kawasan ini, dan kedua, agama Islam yang dianuti oleh majoriti penduduknya. Islam juga disampaikan dengan perantaraan bahasa Melayu dengan kitab-kitabnya tertulis di dalam tulisan Jawi.

Istilah Melayu boleh juga ditakrifkan berdasarkan rumpun bangsa dan bahasanya iaitu Melayu tergolong di dalam cabang Melayu-Indonesia yang mengelompokkan bersama-samanya suku Jawa, Sunda, Madura, Aceh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis, Melanau, Sulu dan sebagainya. Cabang Melayu-Indonesia terangkum pula di dalam Rumpun Bahasa Austronesia daripada keluarga bahasa sumbernya iaitu Keluarga Bahasa Austric.

Kerajaan-kerajaan pra-Islam di Alam Melayu terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, berbentuk agraria yang menjadikan kegiatan pertanian sebagai latarbelakang ekonomi negara. Antaranya ialah empayar Funan dan kerajaan Angkor di Tanah Besar Asia Tenggara dan Majapahit di Jawa. Kerjaan Funan merupakan negeri pertama yang menerima pengaruh kebudayaan India (Hindu- Buddha), sejak kurun pertama Masihi.

Seterusnya Funan telah berkembang menjadi kerajaan berbentuk maritim, iaitu bentuk kerajaan yang kedua, yang menjadikan kegiatan perdagangan laut sebagai latarbelakang ekonomi negara. Kerajaan demikian memiliki sebuah atau beberapa buah pelabuhan entrepot. Pelabuhan entrepot memainkan peranan penting sebagai pusat persinggahan pedagang-pedagang dan pengumpulan dan penyebaran barangan dari Barat ke Timur dan sebaliknya. Melalui peranan pelabuhan entrepot ini, pusat-pusat demikian menjadi pintu masuk pengaruh asing yang melahirkan interaksi antara tamadun. Antara pelabuhan-pelabuhan entrepot dan kerajaannya ialah Oc Eo di Funan (kurun ke-2), Ligor dan Singora di Langkasuka (kurun ke-2), Lembah Bujang di Kedah (kurun ke-4), Kuala Selinsing di Perak (kurun ke-5), di Sumatra Kan-t'o-li (kurun ke-5), Jambi/Melayu (kurun ke-6/7) yang dicantumkan dengan Srivijaya di Palembang (kurun ke-7), Surabaya dan Tuban di Jawa Timur (pada zaman Airlangga kurun ke-11 dan kerajaan Majapahit kurun ke-13).

Srivijaya dari kurun ke-7 hingga ke-11 merupakan kerajaan maritim Melayu yang terpenting yang mendominasi seluruh pesisir laut di utara dan barat Sumatara, Semenanjung Tanah Melayu dan Jawa Barat dan juga perairan Selat Malaka dan Selat Sunda. Di Pulau Jawa, empayar Majapahit di peringkat awal merupakan kerajaan berbentuk agraria di lembah Sungai Berantas, tetapi melalui dasar peluasan kuasa dan perdagangan ia bertukar menjadi kerajaan maritim


terpenting dari kurun ke-13 hingga ke-15/16. Kemunculan dan pembinaan negara-negara kota dan kerajaan pada zaman ini telah menjadi pusat-pusat kepada pembinaan dan pembentukan tamadun Melayu seterusnya.


No comments:

Post a Comment